Ketum

Ketum

Pokok Ketum atau Mitragyna Speciosa Korth tumbuh di kawasan Tropikal dan separa-tropikal di Asia dan Afrika. Di Malaysia, ia terdapat di kawasan lembab berpaya atau berhampiran sungai. Daun Ketum bewarna hijau tua, berkilat dan jalur uratnya berwarna merah. Air Ketum diperolehi dengan merebus daunnya bersama air. Selain itu, terdapat juga daun ketum yang telah dikeringkan, dimasukkan ke dalam kapsul dijadikan campuran minuman. Ia juga dikenali sebagai DAUN BIAK atau AIR DAUN KETUM.

Air rebusan daun Ketum telah lama menjadi bahan perubatan secara tradisional. Ia digunakan sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru lepas bersalin atau memulihkan tenaga bagi orang tua. Daun Ketum dibahagian pucuk dicampurkan bersama air dalam periuk dan direbus selama 1 ke 2 jam. Air daun Ketum yang telah diproses diminum untuk memulihkan tenaga, penahan sakit atau merawat sengal-sengal ringan. Namun begitu, air daun Ketum telah disalahgunakan dan dijual secara meluas kepada pengguna yang tidak memerlukannya.